KOTA KINABALU, 23 Ogos 2026 – Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) telah menganjurkan Kursus Pemantapan dan Penyelarasan Tatacara Penyemakan Tuntutan Elaun Dalam Perkhidmatan Negeri JBN selama tiga (3) hari dua (2) malam bermula pada 21 hingga 23 Ogos 2026, bertempat di Grandis Hotel, Kota Kinabalu.
Kursus ini telah disertai seramai 40 orang peserta dalam kalangan warga JBNS termasuk wakil daripada Bendahari-Bendahari Cawangan. Encik Joiner Juan Pegawai Tadbir dari Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah dijemput sebagai penceramah bagi memberikan penerangan dan perkongsian berkaitan tatacara serta peraturan semasa dalam penyemakan tuntutan elaun dalam perkhidmatan negeri.
Kursus ini bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan kefahaman peserta serta menyelaras tatacara penyemakan tuntutan elaun agar pelaksanaannya dapat dibuat secara seragam, tepat dan teratur. Kursus ini juga menjadi platform untuk membincangkan isu dan permasalahan yang dihadapi dalam proses penyemakan tuntutan, di samping memastikan setiap tuntutan disemak berdasarkan peraturan dan ketetapan yang berkuat kuasa.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan dengan mengemukakan pandangan, pendapat dan cadangan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan. Perbincangan tersebut turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta mendapatkan penjelasan bagi mencapai persetujuan bersama terhadap tatacara dan kaedah penyemakan tuntutan yang lebih seragam.
Hasil daripada kursus ini, beberapa perkara berkaitan tatacara penyemakan tuntutan elaun telah berjaya diperjelas dan diselaraskan melalui keputusan yang dipersetujui bersama. Penyelarasan ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada pegawai yang terlibat dalam melaksanakan proses penyemakan tuntutan secara lebih cekap, tepat dan konsisten, khususnya di peringkat ibu pejabat JBNS dan Bendahari-Bendahari Cawangan.
Penganjuran kursus ini turut mencerminkan komitmen JBNS dalam meningkatkan kompetensi pegawai serta memperkukuh aspek pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus dalam pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Sabah.
Sekian, terima kasih.
KOTA KINABALU, 21 Ogos 2026 – Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) telah mengadakan Bengkel Pemetaan Pengurusan Risiko Pelaksanaan Pelan Strategik JBN 2026–2030 selama tiga (3) hari pada 19 hingga 21 Ogos 2026 (Rabu–Jumaat) bertempat di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu.
Bengkel ini bertujuan mengenal pasti, menilai dan memetakan risiko yang berpotensi mempengaruhi pelaksanaan Pelan Strategik JBN 2026–2030 serta menetapkan langkah kawalan dan mitigasi yang bersesuaian. Bengkel ini juga dapat memperkukuh kefahaman warga JBNS dalam mengurus risiko secara lebih sistematik dan proaktif bagi memastikan setiap strategi serta inisiatif jabatan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Hasil pembentangan dan perbincangan yang dilaksanakan dalam empat (4) kumpulan, JBNS berjaya menghasilkan Master Risk Register dan Risk Action Plan Pelan Strategik JBN 2026–2030 sebagai deliverable penting yang akan menjadi panduan dalam pengurusan dan pemantauan risiko sepanjang pelaksanaan pelan strategik.
Dalam ucapan penutupan, YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri, merakamkan penghargaan kepada Bahagian Perancangan dan Pembangunan atas perancangan dan penyelarasan bengkel serta kepada fasilitator, Encik Rajendran Arjunan dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), atas bimbingan yang membantu JBNS memahami pengurusan risiko secara lebih tersusun dan praktikal. Penghargaan turut diberikan kepada barisan Pengurusan dan semua peserta atas komitmen serta sumbangan pandangan dan pengalaman sepanjang bengkel.
YBhg. Datuk Bendahari Negeri turut menyeru seluruh warga JBNS agar memainkan peranan masing-masing dalam mengurus risiko secara proaktif, mengambil tanggungjawab terhadap risiko serta memastikan setiap tindakan yang telah dipersetujui dilaksanakan dengan berkesan. Beliau menegaskan bahawa pengurusan risiko merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan Pelan Strategik JBN 2026–2030 berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Sekian, terima kasih.
PAPAR, 12 Ogos 2026 – Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) telah menganjurkan Program Team Building Pengurusan Tertinggi Bersama Kakitangan Jabatan Bendahari Negeri Sabah Siri 1/2026 selama dua (2) hari pada 11 hingga 12 Ogos 2026 (Selasa–Rabu) bertempat di Hidden Paradise Resort, Papar, Sabah.
Program ini melibatkan seramai 35 orang peserta dalam kalangan kakitangan JBNS termasuk wakil Pengurusan Tertinggi Jabatan, iaitu Timbalan Bendahari Negeri (Pembangunan), Timbalan Bendahari Negeri (Pentadbiran), Ketua Penolong Bendahari (Perancangan dan Pembangunan), Ketua Penolong Bendahari (Bahagian Pengurusan) serta Ketua Penolong Bendahari (Operasi Pusat).
Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Pengurusan Tertinggi dengan kakitangan JBNS, meningkatkan semangat berpasukan serta membina komunikasi yang lebih efektif dalam persekitaran kerja. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk memupuk nilai kepimpinan, kepercayaan, disiplin dan sikap saling menghormati dalam kalangan warga Jabatan, sekali gus mewujudkan pasukan kerja yang lebih kukuh, harmoni dan produktif dalam mendukung aspirasi serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan JBNS.
Sepanjang dua hari program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti berkumpulan dan team building yang dirangka bagi menguji tahap kerjasama, komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah serta keupayaan bekerja sebagai satu pasukan. Aktiviti yang dilaksanakan turut memberi ruang kepada peserta daripada pelbagai bahagian untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan membina, sekali gus mengeratkan hubungan sesama warga Jabatan.
Pada hari kedua program, YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri, turut hadir bagi memberikan sokongan dan semangat kepada semua peserta yang terlibat serta seterusnya menyempurnakan majlis penutupan program.
Dalam ucapan penutupan, YBhg. Datuk Bendahari Negeri merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua peserta atas komitmen, kerjasama dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Beliau turut menghargai kesediaan para peserta untuk melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan dan berharap semangat kerjasama serta kebersamaan yang dibina menerusi program ini dapat diteruskan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di Jabatan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam memperkukuh hubungan antara Pengurusan Tertinggi dan kakitangan serta membentuk budaya kerja yang lebih kolaboratif, profesional dan berpasukan, selaras dengan usaha berterusan JBNS dalam memperkasakan modal insan dan meningkatkan kecemerlangan organisasi.
Sekian, terima kasih.
Sesi libat urus di antara Bendahari Cawangan Sandakan bersama Pejabat Daerah/ Pejabat Daerah Kecil dan Pejabat Pemungut Hasil yang terpilih telah diadakan pada 21 hingga 24 Julai 2026 yang lalu. SLU ini melibatkan Pejabat Daerah Kinabatangan, Telupid, Beluran dan Pejabat Daerah Kecil Sukau. Bagi Pejabat Pemungut yang terpilih melibatkan Pejabat Hidupan Liar Gua Gomantong, Pejabat Tanah dan Ukur Kinabatangan, Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan, Pejabat Pertanian Beluran, Pejabat Hidupan Liar Sepilok, Pejabat Muzium Cawangan Sandakan dan Pejabat Pelabuhan dan Dermaga Sandakan. Manakala Bendahari Cawangan Sandakan diwakili oleh Pn.Surayah Sudin dan Pn.Shf Suraya Sharif Yussof.
Diantara objektif dalam pelaksanaan sesi libat urus tersebut adalah bagi menyampaikan dan menegaskan segala urusan terimaan dan pembayaran hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan tatacara kewangan dan mematuhi tempoh yang ditetapkan (AP103). Rentetan daripada hasil Mesyuarat Akauntan Gunasama pada bulan Jun yang lalu, perbincangan dua hala bersama Pejabat-Pejabat Daerah dibuat dengan menyampaikan amanat dan teguran Bendahari Negeri berkenaan proses penyediaan dokumen pembayaran yang lebih teratur bagi mengelakkan teguran pembayaran. Melalui sesi ini juga, pihak Bendahari Cawangan Sandakan mendekati setiap Pejabat Pemungut yang terpilih dengan menekankan pematuhan Pekeliling JBNS Bil.6 Tahun 2026 berkenaan Tatacara Mengakaunkan Terimaan Hasil Melalui Modul Baharu Sistem eResit. Perkara ini diperbincangkan secara mendalam dimana terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan sistem ini belum dapat digunapakai oleh pejabat berkenaan. Secara keseluruhannya sesi libat urus kali ini dibuat dengan mendekati agensi yang terpilih secara dekat dengan mengadakan kunjungan ke Pejabat-Pejabat yang berkenaan dan telah mendapat penerimaan serta reaksi yang positif. Pelbagai aspek perbincangan dibuat dan telah menerima maklumbalas yang membina dari kedua-dua belah pihak bagi mengukuhkan jalinan kerjasama amnya dan pematuhan peraturan kewangan khasnya. Diharapkan SLU ini dapat menguatkan semangat ukhuwah dan jalinan silaturahim di antara Bendahari Cawangan Sandakan ,Pejabat Daerah/ Pejabat Daerah Kecil dan Pejabat Pemungut Hasil disekitar Daerah Sandakan, Kinabatangan, Sukau, Telupid dan Beluran dengan perkongsian ilmu dan pengalaman.
Sekian, terima kasih.
KOTA KINABALU, 18 JULAI 2026 – Program Literasi Kewangan Kanak-Kanak Peringkat Daerah Kota Kinabalu 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama tiga (3) hari bermula pada 16 hingga 18 Julai 2026 (Khamis hingga Sabtu) di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) dan Perpustakaan Negeri Sabah dalam usaha memupuk kesedaran serta amalan pengurusan kewangan yang bijak dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda. Penganjuran program ini turut bertujuan memperkenalkan konsep asas kewangan seperti kepentingan menabung, berbelanja secara berhemah, membuat perancangan kewangan serta membentuk nilai tanggungjawab dan disiplin dalam pengurusan wang sebagai persediaan melahirkan generasi yang celik kewangan, berdaya saing dan berdaya tahan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti interaktif, pameran, ceramah, permainan pendidikan dan perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh agensi-agensi berkaitan. Pendekatan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan ini memberi peluang kepada kanak-kanak memahami kepentingan literasi kewangan serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian.
YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri Sabah, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perpustakaan Negeri Sabah atas kesediaan menjadi rakan strategik dalam menjayakan program ini. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang telah memberikan kerjasama dan sokongan padu sepanjang pelaksanaan program, antaranya Petrosains, Alliance Bank, Bank Islam, Bank Rakyat, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Lembaga Tabung Haji, Bank Simpanan Nasional (BSN), Jabatan Hidupan Liar Sabah, guru-guru, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur, rakan strategik serta seluruh warga kerja yang telah bertungkus-lumus memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
Semoga penganjuran Program Literasi Kewangan Kanak-Kanak ini dapat diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang sebagai platform berterusan dalam membentuk masyarakat yang mempunyai pengetahuan kewangan yang kukuh sejak di bangku sekolah, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi yang lebih berhemah, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Sekian, terima kasih.
KONVENSYEN PENOLONG AKAUNTAN 2026 MEMACU INTEGRITI KEWANGAN
KOTA KINABALU, 14 Julai 2026 – Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) telah menganjurkan Konvensyen Penolong Akauntan 2026 yang bertemakan "Memacu Integriti Kewangan" selama dua (2) hari bermula 14 hingga 15 Julai 2026 di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri Sabah. Dalam ucapannya, beliau berharap agar konvensyen ini dapat mencapai objektif yang telah digariskan serta menjadi platform yang berkesan dalam memperkukuh profesionalisme, mengeratkan kerjasama dan memperkasa peranan Penolong Akauntan dalam menyokong kecemerlangan pengurusan kewangan sektor awam Negeri Sabah secara berterusan. Beliau turut menekankan bahawa budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik perlu terus diperkasakan bagi memastikan sistem pengurusan kewangan kerajaan kekal cekap, telus dan berkesan.
Konvensyen tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Dalam ucapan perasmian, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bendahari Negeri Sabah atas komitmen menganjurkan konvensyen yang menghimpunkan Penolong Akauntan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama ini merupakan satu platform penting dalam memperkukuh kefahaman terhadap dasar dan prosedur kewangan, menyelaras amalan kerja serta meningkatkan kompetensi warga Penolong Akauntan. Menurut beliau lagi, usaha berterusan seperti ini mampu memperkasakan penyampaian perkhidmatan kewangan negeri agar sentiasa memenuhi kehendak semasa dan aspirasi Kerajaan Negeri.
Konvensyen Penolong Akauntan merupakan program dwitahunan Jabatan Bendahari Negeri Sabah yang julung kali diadakan pada tahun 2022. Penganjurannya menghimpunkan Penolong Akauntan Kerajaan Negeri Sabah daripada Gred W5 hingga W7, dengan kerjasama beberapa rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan negeri dan institusi kewangan. Program ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan profesional, memperluas jaringan kerjasama serta menggalakkan perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan peserta.
Sejajar dengan tema "Memacu Integriti Kewangan", konvensyen ini dilaksanakan bagi memperkukuh kompetensi dan profesionalisme Penolong Akauntan melalui sesi perkongsian ilmu, amalan terbaik serta perkembangan terkini dalam pengurusan kewangan sektor awam. Di samping itu, program ini turut memupuk budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang cemerlang, selain mengukuhkan komunikasi serta jaringan profesional ke arah pengurusan kewangan Negeri Sabah yang lebih cekap, berkesan dan berlandaskan prinsip value for money.
Penganjuran Konvensyen Penolong Akauntan 2026 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Bendahari Negeri Sabah dalam melahirkan warga kerja yang kompeten, berintegriti dan berdaya saing, sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri ke arah penyampaian perkhidmatan kewangan awam yang cemerlang, mampan dan berkualiti.
Sekian, terima kasih.
KENINGAU, 6 Mac 2026 (Jumaat) – Lawatan Kerja Rasmi ke Bendahari Cawangan Keningau (BC Keningau) telah diadakan pada 6 Mac 2026 bertempat di Bangunan Urusetia Pejabat Daerah Keningau.
Lawatan ke BC Keningau merupakan sebahagian daripada program tahunan Pengurusan Tertinggi Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) bagi mengadakan lawatan kerja ke sembilan (9) Bendahari Cawangan di seluruh negeri. Program ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan operasi dan pengurusan kewangan di peringkat cawangan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan, serta mengeratkan hubungan dan komunikasi antara pengurusan tertinggi jabatan dengan warga kerja di peringkat cawangan.
Sesi mesyuarat pada sebelah pagi telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pertanian, Daerah Keningau dan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Tuan Hamdan Hamzani, Timbalan Bendahari Negeri (Pembangunan); Puan Dayang Sablinah binti Sabli, Timbalan Bendahari Negeri (Operasi); Tuan Putera Jali, Timbalan Bendahari Negeri (Pentadbiran); YBhg. Datin Norlizah Ag Ahmad, Ketua Penolong Bendahari (PP); Tuan Christopher Dyonisius, Ketua Penolong Bendahari (PA); Tuan Awang Esyamudeen bin Awang Mokti, Akauntan (Pengurusan); serta Puan Surayah Sudin, Bendahari Cawangan Sandakan.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Bendahari Negeri menyeru warga BC Keningau agar menghayati dan mengamalkan nilai bersama yang digariskan dalam Pelan Strategik JBNS 2026–2030 sebagai panduan memperkukuh tadbir urus kewangan serta memacu pendigitalan proses kerja jabatan.
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap dasar, peraturan dan undang-undang kewangan yang berkuat kuasa, di samping mengamalkan komunikasi yang jelas dan proaktif dengan pihak Ibu Pejabat, pihak berkepentingan serta pelanggan JBNS bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
Selain itu, warga BC Keningau juga diseru agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan, berani keluar daripada zon keselesaan serta memupuk semangat akauntabiliti dan tanggungjawab terhadap setiap amanah yang diberikan. Beliau turut menyeru agar seluruh warga jabatan terus bergerak sebagai satu pasukan yang saling menyokong dan bekerjasama antara satu sama lain demi memastikan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan oleh Jabatan Bendahari Negeri Sabah kepada kerajaan, pelanggan dan rakyat.
Sekian, terima kasih.
Ranau, 5 Mac 2026, khamis – Lawatan Kerja Rasmi ke Bendahari Cawangan Ranau (BC Ranau) telah diadakan pada 5 Mac 2026 (Khamis) bertempat di Bendahari Cawangan Ranau.
Lawatan ke BC Ranau merupakan sebahagian daripada program tahunan Pengurusan Tertinggi Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) bagi mengadakan lawatan kerja ke sembilan (9) Bendahari Cawangan di seluruh negeri. Program ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan operasi dan pengurusan kewangan di peringkat cawangan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan, serta mengeratkan hubungan dan komunikasi antara pengurusan tertinggi jabatan dengan warga kerja di peringkat cawangan.
Sesi mesyuarat pada sebelah pagi telah diadakan di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Ranau dan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Tuan Hamdan Hamzani, Timbalan Bendahari Negeri (Pembangunan); Puan Dayang Sablinah binti Sabli, Timbalan Bendahari Negeri (Operasi); Tuan Putera Jali, Timbalan Bendahari Negeri (Pentadbiran); YBhg. Datin Norlizah Ag Ahmad, Ketua Penolong Bendahari (PP); Tuan Christopher Dyonisius, Ketua Penolong Bendahari (PA); Tuan Awang Esyamudeen bin Awang Mokti, Akauntan (Pengurusan); serta Puan Surayah Sudin, Bendahari Cawangan Sandakan.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Bendahari Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Bendahari Cawangan Ranau atas komitmen dan dedikasi yang telah diberikan dalam melaksanakan tugas sebagai barisan hadapan jabatan dengan penuh keikhlasan dan integriti.
Beliau turut menyeru agar semua warga BC Ranau terus menghayati serta mengamalkan nilai bersama yang telah disampaikan semasa Majlis Amanat Bendahari Negeri 2026 pada Februari lalu. Nilai-nilai tersebut perlu diterapkan dan dibudayakan dalam setiap tindakan serta tugasan harian bagi memastikan Pelan Strategik JBNS 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Pada sebelah petang, Bendahari Cawangan Ranau telah membawa rombongan Pengurusan Tertinggi Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) melawat Borneo Mushroom Factory di bawah Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di Kundasang. Lawatan ini memberi pendedahan kepada rombongan mengenai proses penanaman cendawan yang menggunakan medium serbuk kayu yang dipadatkan dalam beg khas, sebelum disterilkan dan disuntik dengan benih cendawan. Beg media tersebut kemudiannya ditempatkan di rumah cendawan dengan kawalan suhu dan kelembapan sehingga cendawan tumbuh dan boleh dituai.
Lawatan ini turut memberikan gambaran mengenai penggunaan teknologi dalam industri penanaman cendawan yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi luar bandar.
Sekian, terima kasih.
KKIP, 4 Mac 2026 – Program Agihan Bubur Lambuk anjuran bersama Kelab Bendahari Negeri Sabah (KBNS) dan Kelab Rekreasi dan Kebajikan FAMA Sabah (KERKAFS) telah berlangsung bertempat di KKIP Pejabat FAMA Sabah.
Program ini telah disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Bendahari Negeri (Pembangunan), Tuan Hamdan bin Hamzani serta Presiden KBNS, Encik Aubrey Gilbert, bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) KBNS yang turut hadir menjayakan program. Suasana sepanjang program berlangsung dalam semangat muafakat dan kerjasama erat daripada kedua-dua pihak semasa proses penyediaan bubur lambuk.
Dalam majlis tersebut, penyerahan simbolik bubur lambuk kepada Tuan Hamdan bin Hamzani telah disempurnakan oleh wakil daripada KERKAFS sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap penganjuran program. Hasil kerjasama kedua-dua kelab berjaya menyediakan sebanyak 300 bekas bubur lambuk. Pengagihan bubur lambuk kepada setiap bahagian/seksyen telah dilaksanakan dengan jayanya di Tingkat 8, Bilik Latihan JBN.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara KBNS dan KERKAFS, malah turut menyemarakkan semangat kebersamaan bersempena bulan Ramadan. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua kelab atas komitmen dalam menjayakan program ini
Sekian, terima kasih.
KOTA KINABALU, 03 Mac 2026, Selasa – Ceramah Ramadan Siri 2 bertajuk “Bacalah Dengan Nama Tuhanmu” telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) bertempat di Bilik Latihan, Bahagian Perancangan & Pembangunan, Blok A, Aras 8, Menara Kinabalu.
Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah khas, Ustaz Haji Rafaeh Md. Enarji, Pengarah Dakwah Usia merangkap Pengerusi Majlis Tilawah al-Quran Sabah (MTQSA). Kehadiran beliau telah memberi suntikan motivasi serta pengisian rohani yang bermakna kepada warga jabatan yang hadir.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pengisian rohani bersempena bulan Ramadan yang dianjurkan oleh JBNS bagi menyemarakkan suasana ibadah dan memperkukuh nilai spiritual dalam kalangan warga jabatan. Ceramah tersebut memberi penekanan terhadap makna sebenar ibadah puasa sebagai satu proses pendidikan rohani yang bukan sahaja menuntut pengorbanan fizikal, malah membentuk disiplin diri, meningkatkan ketakwaan serta mempererat hubungan dengan Allah SWT.
Beliau turut mengajak warga JBNS agar menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh budaya ilmu, meningkatkan akhlak dan memperkasa integriti dalam melaksanakan tanggungjawab harian. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi jabatan untuk melahirkan penjawat awam yang profesional, berintegriti dan cemerlang.
JBNS komited untuk terus menganjurkan program seumpama ini sebagai platform pembangunan sahsiah dan spiritual warga jabatan, selaras dengan usaha melahirkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi serta diberkati.
Sekian, terima kasih.
KOTA KINABALU, 24 Februari 2026 (Selasa) – Ceramah Ramadan Siri 1 bertajuk “Sahaja Aku Berpuasa” telah diadakan di Bilik Latihan, Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS), Blok A, Aras 8, Menara Kinabalu.
Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah khas, Ustaz Haji Rafaeh Md. Enarji, Pengarah Dakwa Usia merangkap Pengerusi MTQSA, yang berkongsi pengisian ilmiah berkenaan kepentingan niat, keikhlasan serta penghayatan ibadah puasa sebagai asas pembentukan sahsiah dan integriti diri.
Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian rohani bersempena bulan Ramadan yang dianjurkan oleh JBNS bagi menyemarakkan suasana ibadah dalam kalangan warga jabatan. Melalui ceramah ini, para peserta didedahkan kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang makna sebenar ibadah puasa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi sebagai latihan membentuk disiplin, meningkatkan ketakwaan serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Selain itu, ceramah ini turut menekankan kepentingan menjadikan Ramadan sebagai medan muhasabah diri, memperbaiki amalan harian serta mempertingkatkan nilai amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Pengisian seperti ini diharap dapat menyuntik semangat baharu kepada warga jabatan dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan ibadah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Penganjuran Ceramah Ramadan Siri 1 ini mencerminkan komitmen berterusan JBNS dalam membudayakan ilmu serta memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai spiritual dalam kalangan warga kerja, selaras dengan aspirasi melahirkan perkhidmatan awam yang berintegriti, profesional dan berteraskan nilai-nilai murni.
Sekian, terima kasih.
KOTA KINABALU, 09 Februari 2026 – Sesi Penyerahan Penyata Kewangan Negeri Sabah bagi tahun 2025 kepada Jabatan Audit Negara, Negeri Sabah telah berlangsung di Wisma Audit Sabah, Kota Kinabalu pada hari Isnin.
Sesi mesyuarat pada sebelah pagi telah dipengerusikan oleh Puan Faizah binti Abdullah, Timbalan Pengarah, Audit Negeri Sabah.
Turut hadir ialah Puan Dayang Sablinah binti Sabli, Timbalan Bendahari Negeri (Operasi); Puan Sharifah binti Arshad, Ketua Penolong Bendahari (Akaun Awam); Puan Celorline binti Jaikul; Puan Jamarinah binti Hainis; Encik Cyril V. Tillon; dan Puan Glen David Daladin.
Timbalan Bendahari Negeri (Operasi) telah mewakili YBhg. Datuk Bendahari Negeri dalam penyerahan Penyata Kewangan Negeri Sabah Tahun 2025 kepada Timbalan Pengarah, Audit Negeri Sabah.
Jabatan Bendahari Negeri sekali lagi membuktikan komitmen tinggi dalam tadbir urus kewangan dengan menyerahkan Draf Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 kepada Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini.
Penyerahan yang disempurnakan pada 9 Februari 2026 hari ini meneruskan momentum konsisten jabatan selama lima tahun kebelakangan ini. Sejak tahun 2021, Jabatan Bendahari telah berjaya mengekalkan rekod penyediaan dan penyerahan draf dalam tempoh Januari hingga Februari setiap tahun.
Prestasi yang konsisten ini merupakan hasil disiplin kerja warga jabatan yang memastikan setiap rekod ditutup dengan kemas dan tepat, sekali gus membolehkan proses pengauditan dimulakan lebih awal daripada garis masa yang ditetapkan.
Penyediaan draf kali ini tetap memberi penekanan utama kepada kualiti pelaporan berdasarkan Piawaian Perakaunan Kerajaan (PPK) 2: Persembahan Penyata Kewangan Kerajaan. Pematuhan ini kritikal bagi memastikan setiap maklumat kewangan dipersembahkan secara telus, saksama, dan memenuhi piawaian perakaunan sektor awam yang terkini.
Jabatan berharap agar proses pengauditan kali ini berjalan lancar dengan kerjasama erat antara pasukan kerja Jabatan Bendahari Negeri dan Jabatan Audit Negara. Usaha proaktif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengekalkan prestasi audit yang cemerlang, malah sebagai bukti akauntabiliti jabatan kepada rakyat dan kerajaan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga Jabatan Bendahari Negeri atas dedikasi tanpa henti. Semoga usaha kita ini terus memartabatkan kecemerlangan pengurusan kewangan negeri.
Sekian, terima kasih.
PENAMPANG, 04 Februari 2026, rabu - Majlis Amanat Bendahari Negeri 2026 telah diadakan di Ballroom Level 2, ITCC Penampang.
Majlis ini dimulakan dengan Sesi Perkongsian Khas pada jam 8.30 pagi yang disampaikan oleh Encik Rajendran a/l Arjunan dari Institut Perakaunan Negara, Selangor, bertajuk “Stop Renting, Start Owning”. Perkongsian ini menekankan kepentingan perancangan kewangan yang bijak, pengurusan aset secara strategik serta peralihan daripada kebergantungan jangka pendek kepada pemilikan yang mampan demi kestabilan kewangan jangka panjang.
Majlis Amanat Bendahari Negeri diadakan setiap tahun bertujuan menyampaikan hala tuju, visi, misi dan aspirasi organisasi dalam menghadapi cabaran serta merebut peluang masa hadapan.
Dalam sesi amanat, YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri, memaklumkan bahawa tahun 2025 merupakan fasa penting yang menandakan penutup Pelan Strategik JBN 2021–2025. Pelan ini telah menjadi panduan utama dalam memperkukuh tadbir urus kewangan negeri serta membina asas kukuh ke arah organisasi yang lebih moden, berdaya saing dan berintegriti. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai merupakan hasil usaha kolektif dan semangat kerja berpasukan seluruh warga JBN serta warga perakaunan di pelbagai kementerian, jabatan dan pejabat daerah.
Pihak pengurusan JBN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen, dedikasi dan usaha gigih warga jabatan sepanjang tahun 2025, dengan harapan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Selain itu, YBhg. Datuk Bendahari Negeri turut mengumumkan pelancaran Pelan Strategik JBNS 2026–2030 yang dirangka bagi memastikan JBN kekal relevan, berdaya tahan serta bersedia menghadapi landskap kewangan yang semakin kompleks dan dinamik.
Sebagai asas pelaksanaan pelan strategik ini, JBN mengangkat lima nilai bersama yang dirangkumkan melalui akronim “PRIME” sebagai kompas moral dan budaya kerja seluruh warga jabatan. Nilai-nilai ini menjadi panduan dalam setiap tugasan, keputusan dan tindakan demi memastikan perjalanan Pelan Strategik JBN 2026–2030 berjalan lancar dan mencapai sasaran.
Bagi tahun 2026, tema yang ditetapkan ialah “Mengambil Tanggungjawab (Taking Ownership)”, yang menekankan bahawa setiap warga JBN perlu memikul amanah dengan penuh kesedaran dan kebertanggungjawaban, bukan sekadar melaksanakan tugasan mengikut prosedur.
Mengakhiri amanat, YBhg. Datuk Bendahari Negeri mengajak seluruh warga JBN untuk bersama-sama melangkah ke fasa baharu perjalanan jabatan dengan keyakinan, profesionalisme dan iltizam tinggi, menuju kejayaan Pelan Strategik JBN 2026–2030.
Sekian, terima kasih.
SOOK, 28 Januari 2026, rabu – Majlis Perasmian Program Sihat Xpress (Kios Kesihatan) telah berjaya diadakan di Kampung Bonor, Sook, keningau dan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Yang Berusaha Puan Caroline Benjamin Jiungan, Pegawai Daerah Sook, Keningau; Dr. Vinoth Viknesh A/L Muthusamy, Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau; serta Yang Dihormati Encik Semon bin Banggieng, Ketua Kampung Bonor, Sook.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Bendahari Negeri merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya pihak penganjur, rakan strategik dan komuniti setempat atas kerjasama erat dalam menjayakan program ini.
Program Sihat Xpress (Kios Kesihatan) merupakan satu inisiatif yang bertujuan meningkatkan akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan asas secara lebih mudah, cepat dan efisien. Melalui penyediaan kios kesihatan ini, orang ramai berpeluang menjalani saringan kesihatan awal, mendapatkan maklumat kesihatan yang tepat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan.
Selepas majlis perasmian, YBhg. Datuk Bendahari Negeri bersama rombongan telah diiringi ke Rumah Ketua Kampung Bonor bagi mencuba serta meninjau sendiri kios kesihatan yang disediakan oleh pihak MEASAT dan Mudah Healthtech, sekali gus memperlihatkan keupayaan kios tersebut dalam menyediakan perkhidmatan konsultasi kesihatan secara digital kepada masyarakat.
Usaha ini amat penting dalam menyokong kesejahteraan komuniti secara menyeluruh serta membudayakan amalan hidup sihat dan pencegahan awal terhadap risiko kesihatan. Diharapkan pelaksanaan Program Sihat Xpress ini dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang melalui kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan.
Sekian, terima kasih.
Ranau, 27 Januari 2026, selasa – Majlis Perasmian Program Sihat Xpress (Kios Kesihatan) telah berjaya diadakan di Kampung Manikulau, Ranau pada hari Selasa dan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berusaha Doktor Nor Faizah binti Ismail,Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran; Encik Frey Alexander Francis, Penolong Pegawai Daerah Kanan Ranau; serta Yang Dihormati Encik Robat bin Limbod, Ketua Kampung Manikulau, Ranau, yang mencerminkan sokongan padu pelbagai pihak terhadap pelaksanaan inisiatif kesihatan komuniti.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Bendahari Negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat serta menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat pihak penganjur, rakan strategik dan komuniti setempat dalam menjayakan program ini.
Program Sihat Xpress merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan asas secara mudah, cepat dan efisien melalui penyediaan kios kesihatan yang membolehkan saringan kesihatan awal, penyampaian maklumat kesihatan serta peningkatan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan berterusan.
Beliau turut berharap agar program ini dapat memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, khususnya dalam membudayakan amalan hidup sihat dan pencegahan awal risiko kesihatan, di samping diperluaskan ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.
Selepas majlis perasmian, YBhg. Datuk Bendahari Negeri melawat dan mencuba kios kesihatan yang disediakan, diiringi oleh pihak MEASAT dan Mudah Healthtech, serta berkesempatan berinteraksi secara langsung dalam talian bersama seorang doktor sekali gus memperlihatkan keupayaan kios kesihatan ini dalam menyediakan perkhidmatan konsultasi kesihatan secara digital kepada masyarakat.
Sekian, terima kasih.
KOTA KINABALU, 26 Januari 2026 – Jabatan Bendahari Negeri Sabah telah menerima Lawatan Kerja Delegasi Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Perdana, Aras 11, Blok A, Menara Kinabalu.
Mesyuarat lawatan kerja tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Hamdan Hamzani, Timbalan Bendahari Negeri (Pembangunan), berikutan YBhg. Datuk Mary Angela Sipaun, Bendahari Negeri yang beredar bagi menghadiri mesyuarat luar. Walau bagaimanapun, YBhg. Datuk Bendahari Negeri sempat meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra bersama rombongan delegasi dari Negeri Melaka. Turut hadir ialah wakil daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah, iaitu Puan Anthea James Jipanus, Timbalan Setiausaha Tetap (Operasi).
Lawatan kerja ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri Sabah, di samping bertukar pandangan dan pengalaman serta berkongsi amalan terbaik dalam aspek pengurusan kewangan negeri. Lawatan ini juga menjadi platform penting bagi memperkukuh jaringan profesional, meningkatkan kefahaman bersama, serta memperkasakan tadbir urus kewangan yang cekap dan berkesan di peringkat negeri.
Jabatan Bendahari Negeri Sabah berharap agar lawatan kerja seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memperkukuh kerjasama strategik antara negeri-negeri, sekali gus menyokong usaha ke arah pembangunan dan kemakmuran bersama.
Sekian, terima kasih.