Perutusan Bendahari Negeri

Perutusan BN 2023.jpg

PERUTUSAN BENDAHARI NEGERI

Salam sejahtera kepada semua warga Jabatan Bendahari Negeri (JBN) dan pelanggan-pelanggan yang dihormati.

Pertamanya, selamat melayari laman web JBN yang baru. Di era pendigitalan, JBN sekali lagi mengorak langkah meningkatkan perkhidmatan dan saluran informasi melalui laman web yang direka semula ini.

JBN merupakan organisasi awam negeri yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kewangan dan perakaunan Kerajaan Negeri. JBN telah banyak mengharungi cabaran dan mencapai pelbagai kejayaan. Antaranya, JBN telah mendapat pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran sejak tahun 2000 dan telah mewujudkan pelbagai sistem atas talian bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan seperti S3P, eMove, eKontrak, ePayA3 dan e-SlipGaji. JBN juga telah banyak memperkenalkan pembaharuan seperti kelulusan baucar bayaran di peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) terpilih, meningkatkan had bayaran di Bendahari Cawangan dan eBanking serta mengemaskini prosedur penyemakan dan pertimbangan baucar bayaran.

Bagaimanapun, JBN perlu sentiasa dinamik. Pada masa ini, JBN fokus kepada pelaksanaan perakaunan akruan di peringkat Kerajaan Negeri Sabah. Transisi kepada perakaunan akruan merupakan langkah seterusnya yang tepat serta tepat pada masanya dan JBN mempunyai peranan yang amat penting sebagai agensi peneraju pelaksanaan. JBN juga tidak ketinggalan bersama-sama menyokong dan merealisasikan Pelan Pendigitalan Kerajaan Negeri melalui Konsep 5A ‘Accessible by Anyone at Any time, Any where, by Any mobile device’. Justeru, pelaksanaan perakaunan akruan disekalikan dengan pembangunan Intelligent State Financial and Accounting System (iSFAS). Kedua-dua projek ini memerlukan komitmen idea, masa dan sumber manusia terlatih yang secukupnya bagi menetapkan dasar dan prosedur, membina sistem, mengadakan latihan dan mengumpul data aset.

Di samping cabaran memenuhi dan mengatasi ekspektasi standard perkhidmatan kewangan dan perakaunan, JBN juga terkesan oleh penularan wabak COVID-19. Selain memastikan perkhidmatan bayaran (essential service) yang tidak terputus, JBN juga perlu mematuhi arahan-arahan Kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak ini. Cabaran ini menekankan lagi keperluan tranformasi perkhidmatan kewangan dan perakaunan ke arah pendigitalan sepenuhnya bukan sahaja supaya perkhidmatan sentiasa tersedia tetapi untuk menjamin keselamatan dan kesihatan anggota JBN dan semua warga kerja Klasifikasi Kewangan dan Perakaunan.

Justeru, persefahaman, sokongan dan kerjasama semua tidak kira samada pelanggan JBN mahupun anggota JBN dan warga kerja Klasifikasi Kewangan dan Perakaunan dipohon bagi memastikan perkhidmatan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan Negeri sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Akhir kata, diharapkan agar laman web ini dapat memenuhi keperluan anda. JBN sentiasa bersedia menerima dan mengalu-alukan maklumbalas anda tentang perkongsian dan penyaluran informasi kami serta perkhidmatan yang kami berikan.

Sekian

Terima kasih.

Datin Mary Angela Sipaun C.A.(M), FCPA(A), ASEAN CPA

Bendahari Negeri