Perutusan Bendahari Negeri

Perutusan.png

PERUTUSAN BENDAHARI NEGERI SABAH

Salam Sejahtera,

Selamat datang ke laman web rasmi Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBN).

Syukur, Jabatan Bendahari Negeri Sabah terus diberi kekuatan dan keupayaan untuk melaksanakan amanah besar dalam mengurus tadbir kewangan negeri secara berhemah, telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta pembangunan Negeri Sabah.

Sebagai institusi teras dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri, JBN sentiasa komited untuk memperkukuhkan sistem tadbir urus kewangan awam yang berlandaskan prinsip akauntabiliti, kecekapan, ketelusan dan nilai integriti yang tinggi. Keutamaan ini bukan sahaja memastikan pengurusan kewangan yang mampan, malah memperkukuhkan keyakinan rakyat serta pihak berkepentingan terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam mengurus sumber awam secara bertanggungjawab.

Seiring dengan aspirasi pembangunan negeri dan cabaran persekitaran semasa, Jabatan Bendahari Negeri Sabah telah melancarkan Pelan Strategik JBN 2026–2030, yang telah diumumkan secara rasmi semasa Amanat Bendahari Negeri 2026. Pelan strategik ini menjadi dokumen hala tuju utama jabatan yang merangka visi, misi, strategi dan keutamaan JBN bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan fokus kepada pemerkasaan tadbir urus kewangan, transformasi perkhidmatan, pendigitalan sistem, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pembangunan modal insan.

Pelaksanaan Pelan Strategik JBN 2026–2030 ini akan digerakkan berteraskan lima (5) nilai bersama yang menjadi budaya kerja dan identiti warga JBN, dirangkumkan melalui akronim PRIME, iaitu:

Professionalism (Profesionalisme) – Melaksanakan tugas dengan kompeten, berdisiplin dan berstandard tinggi.
Responsibility (Tanggungjawab) – Memikul amanah dengan penuh akauntabiliti dan kebertanggungjawaban.
Integrity (Integriti) – Berpegang teguh kepada nilai kejujuran, ketelusan dan etika perkhidmatan awam.
Modernisation (Pemodenan) – Mengadaptasi inovasi, teknologi dan pendigitalan dalam pengurusan kewangan dan perkhidmatan.
Excellence (Kecemerlangan) – Berusaha secara berterusan untuk mencapai prestasi dan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Nilai-nilai PRIME ini bukan sekadar slogan, tetapi menjadi teras kepada pembentukan budaya organisasi JBN dalam memastikan setiap warga jabatan berfungsi sebagai penjawat awam yang profesional, berintegriti dan berorientasikan perkhidmatan berkualiti tinggi.

Saya yakin bahawa dengan komitmen berterusan seluruh warga Jabatan Bendahari Negeri Sabah, sokongan padu Kerajaan Negeri, serta kerjasama erat semua kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkepentingan, JBN akan terus berperanan sebagai jabatan teras Kerajaan Negeri yang berwibawa, progresif dan diyakini.
Akhir kata, semoga laman web ini menjadi medium yang berkesan untuk perkongsian maklumat, rujukan perkhidmatan serta pengukuhan hubungan strategik antara Jabatan Bendahari Negeri Sabah dengan semua pihak.

Sekian, terima kasih.

Datuk Mary Angela Sipaun
C.A.(M), FCPA(Aust.), CPFA, ASEAN CPA
Bendahari Negeri Sabah
Jabatan Bendahari Negeri Sabah